Sunday, October 26, 2008

Mengenali spesis Ikan Dan Habitatnya ( Bahagian 1 )

Apa kabar anda semua...., semuga sihat-sihat hendaknya. Hari ini orang-orang India yang menganut ugama Hindu merayakan Hari Deepavali..., semuga anda semua bergembira merayakan bersama keluarga tersayang. Diharap Deepavali kali ini memberikan satu harapan baru untuk anda semua.

Sempena cuti 3 hari ini mungkin ramai yang mengambil kesempatan untuk pulang kekampung tidak kurang juga yang pergi bercuti bersama keluarga ke tempat-tempat percutian samaada ke tanah tinggi, pulau-pulau, tasik-tasik ataupun ke chalet-chalet di tepi pantai. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan mengikuti trip-trip memancing ke laut dalam. Sesekali cuti panjang ini tentu seronok dapat juga menghilang tension ditempat kerja. Tentu perancangan awal telah dibuat di kawasan mana untuk pergi memancing, menyediakan peralatan, jenis-jenis umpan yang perlu dibawa, ikan apa yang ditarget untuk dipancing. Walau kemana anda pergi memancing rasanya adalah elok untuk anda mengenali serba sedikit spesis ikan serta habitat kehidupannya. Saya hanya akan menceritakan secara asas sahaja beberapa spesis ikan yang agak popular kepada golongan pemancing-pemancing laut dalam, sungai, tasik atau kolam berbayar.

KELAH ATAU MAHSEER RAJA SUNGAI.
Pengenalan:-
Sungai memainkan peranan yang penting kepada kehiduan manusia dan alam semesta, dimana airnya mengalir dari puncak gunung merentasi hutan rimba, bukit bakau seterusnya mengalir jernih sebelum bertemu dengan air lautan. Disebelah hulu, dikawasan hutan rimba yang berbukit bukau, dimana kawasannya masih belum terusik airnya mengalir sangat jernih hinggakan kita bolih terus meminumnya tanpa perlu dimasak. Dikawasan yang berjeram serta berarus deras ini tinggal sejenis ikan yang amat tangkas berenang dicelah-celah kawasan berbatu sambil mengejar anak-anak ikan . Rupa bentuk badannya yang menarik disamping isi daging yang manis dan lazat dimakan dan menjadi kegilaan pemancing untuk menangkapnya...itulah dia si kelah atau mahseer ikan yang mendapat jolokan raja sungai.

Habitat:-
Kelah atau mahseer merupakan ikan yang menghuni sungai berair sejuk yang hanya dijumpai di Asia dan biasanya suka mendiami bahagian hulu sungai yang besar.dan Ia tidak gemar mendiami kawasan sungai yang tercemar juga air yang keruh dan hangat di kawasan hilir sungai yang berdekatan dengan kawasan pembangunaan. Sebaliknya memilih kawasan air berarus deras, berbatu dan dasarnya berkerikil dan berpasir halus. Biasanya ikan ini sering dijumpai dikawasan sungai tropika Asia seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan di sungai pergunungan Himalaya.

Rupa Bentuk:-
Kelah bolih digolongkan spesis ikan yang bersaiz sederhana dan besar, mempunyai bentuk badan yang pejal dan mampat serta memanjang. Mempunyai sisik yang besar berwarna keemasan, serta mulut dan kepala yang besar. Mempunyai daya juang yang amat tangkas dan bertenaga serta bijak meloloskan diri. Ia bolih membesar melebihi 50 kilogram ke atas dan mendiami sungai-sungai yang besar. Rupa bentuk, ketangkasan, keenakan isi dagingnya, kecantikan sisik kulitnya, kesukaran menjejakinya itulah yang menjadi punca kegilaan pemancing-pemancing air tawar untuk memburu dan memancingnya. Bagi pemancing yang kurang berpengalaman, sering kali tewas dengan ketangkasan ikan kelah melepaskan diri sebaik saja meragut umpan.


















Monday, October 20, 2008

Kaitan Pengaruh Alam Dan Ikan ( Samb # 2 )

Berjumpa lagi kita, diartikal yang lalu anda telah didedahkan tentang pengaruh air pasang surut dan bagaimana ia berlaku. Banyak lagi info- info tentang air pasang surut, untuk diceritakan disini tentu ceritanya berjela-jela panjang. Anda akan mengetahui lebih lanjut bab tersebut dibahagian ruangan TIP dan PETUA, jadi akan kenalah terus mengikutinya. Ditulisan kali ini kita akan berbincang beberapa faktor yang mempengaruhi hasil tangkapan pancingan anda.

A. PENGARUH BULAN.
Sering kita terdengar, orang berkata kalau nak pergi memancing ikan tak kira samaada memancing dilaut. tepi pantai atau kolam berbayar...., pilihlah 7 hingga 11 haribulan dan antara 20 hingga 24...., hasilnya lumayan....kenapa mereka berkata begitu dan apa kaitannya dengan memancing.....??? Kalau anda bertanyakan soalan yang sama kepada golongan nelayan sudah pasti anda akan mendapat jawapan yang sama.

Mari kita cari apakah kaitannya, biasanya kalau kita memancing dilaut kita akan peka dengan soal air pasang surut. Satu fenomena yang berlaku akibat peredaran bulan. Biasanya pada tarikh 7 hingga 11 haribulan orang akan memanggilnya sebagai air mati, dimana arus air kurang deras, masa air pasangnya lebih panjang disebelah malam dan pendek disebelah siang. Manakala 20 hingga 23 haribulan Melayu ( bulan sabit ) bila pasang airnya kurang berarus, biasanya tempoh pasang dan surut adalah sama 6 jam pasang dan 6 jam surut. Diwaktu ini ikan kurang sensitif dengan penglihatan dan ia amat sesuai untuk pergi memancing.

Itu jika anda memancing dilaut tetapi bagaimana jika anda memancing di kolam berbayar, atau disungai-sungai. Seperti ynag kita sudah maklum ikan-ikan dilautan hidup dengan habitat asalnya yang bebas berkeliaran kesana sini bagaimana pula ikan lautan dan muara yang diternak didalam sangkar dan dipindahkan kedalam kolam-kolam berbayar. Sudah tentu kehidupannya sudah jauh berbeza dengan habitat asalnya. Walaupun ia diternak dikolam berbayar namun ikan tetap ikan...,samaada ia membesar di alam semulajadi atau dikurungan namun sifat genetik semulajadinya tetap dipertahankan dan tetap kekal seperti dilautan lepas. Lazimnya ikan akan galak mencari makanan dalam sejam sebelum dan selepas berlakunya pertukaran arus pasang surut.






Friday, October 17, 2008

Kaitan Pengaruh Alam Dan Ikan ( Samb # 1 )

Ditulisan saya yang lalu kita telah bercerita tentang topik apakah kaitan pengaruh alam seperti pasang surut air, pengaruh bulan Islam dan bulan Cina dan sebagainya. Kali ini kita cuba kupas lebih mendalam apakah relevennya kaitan pengaruh alam dengan dunia memancing.

A. PASANG SURUT.
Tentu anda akan bertanya kenapa kita perlu mengetahui bila berlakunya pasang surut? Ada setengah pemancing menganggap perkara-perkara seperti ini melecehkan walhal dengan kita mempelajari perubaha air pasang surut ia akan dapat membantu anda memperolihi hasil pancingan yang lumayan. Mari kita mempelajari serba sedikit bagaimana berlakunya air pasang surut.

Pasang surut sebenarnya berlaku akibat peredaran bulan mengelilingi bumi ( disamping itu ia juga dipengaruhi sedikit olih matahari ). Tarikan graviti bulanlah yang akan menarik air lautan menjadi pasang. Disebabkan tarikan graviti itulah juga apabila bulan mengambang penuh diantara 15 haribulan pada kelender Islam atau Cina, kita akan dapati air laut akan pasang paling maksimum. Manakala air mati pula berlaku apabila bacaan antara air pasang dan surut tidak jauh bezanya. Ia berlaku lebih kurang selama 10 hari dalam sebulan. Dengan merujuk kepada kelendar Islam ia biasanya berlaku diantara 7 hingga 11 haribulan dan 20 hingga 24 haribulan.

Perubahan air pasang surut dapat mempengaruhi hasil pancing kita disebabkan beberapa faktor, ia memang sukar untuk dihuraikan dan dijelaskan. Sesetengah ikan amat galak terutama ketika berlakunya pasang surut. Keadaan ini hanya berlaku lebih kurang 30 minit air mula pasang atau surut. Biasanya ikan-ikan akan bergerak mengikut arus yang bergerak kedaratan. Ikan-ikan tersebut bergerak memasuki muara-muara sungai untuk mencari makanan. Kadang kala ia bergerak jauh menyusuri sungai tersebut mengejar anak-anak ikan yang berenang. Jika anda telah dapat mempelajari perubahan air pasang surut tersebut, ia lebih memudahkan anda untuk membuat perancangan masa yang sesuai untuk memancing ikan dan mendapatkan tangkapan yang lumayan. Setakat ini dulu topik kita ini, kita akan sambung ditulisan yang akan datang.


Monday, October 13, 2008

Kaitan Pengaruh Alam Dan Ikan

Apa kabar anda semua, mudah-mudah sihat-sihat hendaknya. Rasanya saya dah lama tak menulis, disebabkan kesibukan tugas. Bagaimana sambutan Hari Raya tempohari..., tentu meriah. Mungkin masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Dan Batin. Rasanya sambutannya masih lagi terasa..., disana sini kita dengar diadakan rumah terbuka, baik dipejabat-pejabat atau orang perseorangan. Berserononk tu berseronok gak tetapi kesihatan tu kena jaga gak kannnn...!!

Kembali kita kepada topik kita, bagaimana akitiviti memancing anda selepas menyambut bulan puasa dan aidil fitri lalu. Mungkin anda telah berkira-kira untuk pergi keluar memancing kelubuk-lubuk yang anda dengar dari kawan-kawan anda. Mungkin ada yang bercadang untuk turun kelaut dalam, ada yang bercadang untuk memancing ke tasik-tasik atau sungai-sungai, malahan ada juga yang bercadang untuk mencuba di kolam-kolam rekreasi.

Satu soalanya yang mungkin pernah anda dengar atau teman-teman anda tanyakan kepda anda..... Apakah kaitan alam dengan ikan...? Pelbagai jawapan yang anda beri atau anda terima ada yang betul dan sebaliknya. Tidak kira dimana anda memancing, di laut dalam, di tepi pantai, disungai, ditasik ataupun dikolam penentu keaktiftan ikan banyak bergantung kepada pengaruh pasang surut, pengaruh bulan, pengaruh musin dan angin juga tak ketinggalan pengaruh suhu air. Selain anda mampu membeli peralatan yang canggih seperti sonar, gps atau umpan-umpan tiruan yang mahal-mahal tidaklah ia menjanjikan anda akan mendapat tangkapan yang lumayan. Mungkin orang akan mentertawakan anda jika anda menggunakan sonar untuk memancing ikan atau udang di kolam. Selain dari peralatan yang canggih itu anda juga disarankan agar mempelajari dan memahami dengan lebih mendalam tentang faktor-faktor pengaruh perubahan alam semulajadi kerana ia mampu mempengaruhi tabiat ikan ketika itu. Contohnya seperti pasang surut air, bulan ( kelendar islam dan Cina ) dan musim. Sebelum anda turun memancing , anda disarankn untuk meneliti dan mengkaji perkara-perkara tersebut demi menjamin kejayaan anda. Malahan amalan ini telah diamalkan olih nenek moyang kita dahulu kala sebelum wujudnya peralatan yang canggih seperti sekarang. Rasanya setakat ini dulu..., kita akan sambung lagi topik ini ditulisan yang akan datang.



Monday, September 15, 2008

Mengenal Dan memilih Mata Kail

FUNGSI DAN ASAS MATA KAIL.

Sebelum ini anda telah diperkenalkan tentang mengenal dan memilih serta jenis-jenis mesin pancing dan joran. Mudah-mudahan anda telah mendapat serba sedikit tip untuk membeli peralatan tersebut. Kali ini, kita akan mengenal serba sedikit tentang mata kail, fungsi dan asasnya. Dipasaran sekarang terdapat ribuan jenis mata pancing yang menunggu untuk digunakan olih pemancing. Malahan untuk satu jenama sahaja, ia mempunyai berbagai bentuk dan berbagai jenis mata kail malahan dilaporkan ada yang memiliki lebih kurang 14,000 ke 16,000 bentuk dan model. Ini belum ditambah dari jenama pengilang lain. Andai kita untuk membicarakan tentang mata kail ini mungkin seminggu pun tak selesai. Jadi mari kita fokuskan secara am sahaja. Untuk pengetahuan anda sebenarnya,ribuan mata kail yang dicipta adalah modifikasi dari hanya 5 jenis mata kail asas.



Untuk mengenali asas rekabentuk mata kail mari kita pelajari serba sedikit fungsi sebenar mata kail. Ia terbahagi kepada beberap bahagian seperti;


1. Lubang / telinga ( eye )
2. Teras (shank).
3. Luyut ( bend ).
4. Tusuk / tahap penembusan ( bite )
5. Lembing ( spear )
6. Jurang ( gap )
7. Leher ( throut )
8. Mata hujung ( point )
9. Cangkuk ( barb )


1. MATA TIGA ( TREBLE HOOKS )
Mata kail jenis ini dari gabungan 3 mata kail dijadikan satu. Ia biasanya dipasang pada umpan tiruan seperti gewang, jig, popper dan sebagainya. Kelemahannya, ia mampu dikunyah olih rahang ikan yang kuat. Anda bolih mengujinya dengan melakukan demonstrasi seperti berikut,....letakkan mata mata 3 tersebut dipermukaan yang keras dan jatuhkan keatas sesuatu benda yang keras contohnya seperti buku atau benda yang berat. Anda harus berhati-hati melakukannya, jika tersilap teknik ia bolih mendatangkan kecederaan yang serius kepada anda. Walaupun ia agak rapuh tetapi ia bolih bertukar kepada pelbagai jenis kekuatan ekstra mata 3 seperti kekuatan 3x, 4x, 5x.

2. MATA DUA ( DOUBLE HOOKS )


Mata 2 juga biasanya digunakan untuk umpan tiruan seperti mata 3 tadi. Ia mempunyai 2 mata sahaja dan kelebihannya ia agak keras dan sukar untuk ikan yang mempunyai rahang yang kuat. Mata jenis ini kebanyakan hanya dijual di luar negara dan di Malaysia ini ia begitu sukar untuk diperolihi lantaran kurang sambutan.



3. MATA O'SHSUGHNESSY.
Mata jenis ini memiliki teras yang panjang tetapi berleher pendek, jurang yang rapat dan lembing yang pendek.Ia sangat sesuai digunakan untuk memerangkap ikan yang suka menggetu umpan ( ikan yang menggetu gemar mencuri umpan secara perlahan dengan mengigit sedikit demi sedikit umpan. Anda akan menyentap joran bila terasa getuan yang kuat dan kebiasaannya ikan akan terlepas. Anda hanya akan mengarau mata yang telah kosong. Namun begitu anda akan sentiasa merasa renggutan umpan dimakan ikan. Jika anda memancing ikan karang yang sederhana saiznya, eloklah anda menggunakan mata kail yang berteras halus kerana bila tersangkut ia mudah lurus dan senang membentuknya semula

4. MATA BIG GAME / TUNDAAN ( TROLLING )



Mata kail jenis ini mempunyai luyut yang lebar, leher yang panjang, tahap penembusan yang jauh dan jurang yang rapat.Ia diperbuat dari besi yang kuat dan tebal, sebab ita penembusannya lebih baik dan teguh dimana luyutnya dapat memberikan tusukan ketulang rahang dengan baik sekali. Ia amat sesuai digunakan untuk kedua-dua jenis umpan samaada umpan hidup, mati atau umpan tiruan contohnya untuk pancingan tundaan ( trolling ).




5. MATA LINGKAR ( CIRCLE HOOKS ).

Mata lingkar ini sesuai untuk digunakan bagi umpan yang asli dan sesuai untuk menjerat ikan yang gemar menyambar dan memecut lari atau yang menyambar, menelan dan memecut lari. Mata ini berbentuk hampir bulat dengan hujung matanya yang tajam melengkung kedalam. Ia tidak sesuai untuk jenis ikan yang makannya secara menggetu,juga
tidak sesuai untuk pancingan tunda kecuali menggunakan umpan hidup atau mati. Mengikut kajian penggunaan mata jenis lingkar ini kadar sangkutannya adalah lebih 95%. Apabila ikan menyambar umpan dan melarikannya, perambut dan tali yang tegang akan membawa mata kail kesudut mulut atau tepi rahang ikan. Samaada umpan telah ditelan atau tidak, bahagian jurang mata kail ( gap ) akan tergelincir pada tulang rahang atau sudut mulut ikan. ketegangan yang meningkat akan memaksa mata kail tersangkut dengan baik dan sukar untuk melepaskan diri.

Mata lingkar ini juga amat sesuai untuk jenis ikan yang melompat atau mengelengkan kepala untuk membuang mata kail contohnya ikan siakap. Disamping itu ia juga mat sesuai untuk pancingan tangkap dan lepas kerana mata kail yang tersangkut hanya dirahang. Disamping itu ia juga sesuai untuk pancingan dasar ( bottom fishing ) berbatu.
Sebelum anda menggunakan mata lingkar ini, beberapa perkara perlu anda fahami dan praktikkan;
1. Apabila ikan menyambar umpan JANGAN disentap joran anda, jika
anda melakukannya juga alamat anda akan berputih mata ikan
terlepas. Kerana dengan sentapan, mata kail akan terbuang keluar
dari mulut ikan.
2. Ketika mencangkuk umpan jangan ditutup bahagian jurang dan hujung mata, biarkan ia terdedah kerana bila ikan melarikan umpan secara sendirinya mata itu akan tergelincir dan melekat di rahang ikan.
3. Untuk pancingan tangkap dan lepas mata lingkar ini tidak perlu diasah.
4. Jika anda memancing ikan jenahak jangan anda mengunci tegangan mesin anda terlalu ketat, disamping itu anda jangan leka untuk memerhatikan joran anda. Jika tidak anda akan berputih mata jika joran anda terbang kedalam laut atau kolam pancingan bersama ikan tersebut.





Thursday, September 11, 2008

5. Mengenal Dan Memilih Peralatan ( Samb )

Kesesuaian Panjang Joran

Bersua lagi kita, mudah-mudah anda semua sihat-sihat hendaknya dan selamat menjalani ibadah puasa. Hari ini sudah masuk hari yang ke12 umat Islam seluruh dunia menjalani ibadah puasa. Mungkin bagi kaki-kaki pancing dibulan Ramadhan ini mereka " rehat sebentar " dari aktiviti memancing mereka. Ada juga yang tetap meneruskan akitiviti memancing mereka tetapi mengurangkan sedikit tidak seperti bulan-bulan yang lain. mungkin ada yang menumpukan akitiviti memancing diwaktu malam dilapangan sasar "kolam memancing ikan " air masin, tawar dan tidak kurang juga yang mencuba nasib di "kolam-kolam udang" sambil menunggu waktu bersahur.

Di tulisan saya yang lalu, kita ada bercerita berkaitan joran dan kali ini kita menyambung semula cerita berkaitan joran. Mungkin diantara kita pernah mengalami joran patah ketika memancing, sudah banyak kali saya melihat peristiwa joran patah ketika melawan tarikan ikan dan ketika melontarkan umpan. Kenapa dan mengapa ia bolih berlaku? Ada banyak faktor yang menyebabkan perkara seperti itu bolih berlaku diantaranya kegopohan sipemancing, tali utama berbelit dihujung. Semua ini bukan punca sebenar joran bolih patah ketika memancing tetapi ia berpunca dari bahan asas joran itu sendiri. Walaupaun grafit, boron, kelvar dan armorid veil itu kuat tetapi ia rapuh dan mudah mengalami keretakan jika terhentak pada batu atau dahan pokok.
Keretakan tersebut mungkin anda tidak disedari atau ketara sehinggalah anda melawan tarikan ikan ataupun ketika anda melontar umpan. Tiba-tiba anda terdengar bunyi " praap "
dan joran anda terkulai dihujung atau dibahagian tengah. Selain dari itu ia disebabkan olih sambungan antara joran tersebut menjadi longgar, dimana kedua-dua sambungan itu mengesel atau mengigit antara satu sama lain. Untuk mengatasi masalah ini ikuti seterusnya post saya yang akan datang dibahagian " selenggraan peralatan, petua atau tip-tip.


Ramai pemancing kebingungan ketika membeli joran, berapa panjang joran yang sesuai digunakan untuk memancing. Kesesuaian panjang joran banyak bergantung kepada jenis ikan yang anda cari dan dimana anda ingin memancing. Disini saya berikan sedikit tip untuk memilih joran yang sesuai;
1. Panjang joran untuk melontar umpan atau gewang tepat kesasaran seperti dibawah ranting
pokok kayu atau reba.
2. Untuk mengerakkan umpan atau gewang dengan sempurna.
3. Untuk menyembat supaya mata kail lekat dimulut ikan.
4. Untuk mengawal pegerakan ikan yang ingin melarikan diri dicelah-celah kayu atau reba.


Jika anda memancing di pantai, tebing penahan ombak anda disarankan memilih joran yang panjangnya antara 9 kaki hingga 13 kaki, ia dapat menolong anda mengawal pergerakan ikan. Contonya seperti;



Tetapi sebaliknya, joran yang panjang juga akan menimbulkan masalah jika anda memancing didalam bot yang penuh dengan pemancing. Pilihlah joran antara 5 kaki 6 inci atau 6 1/2 kaki amat sesuai digunakan ketika mengawal ikan ketika ingin melepaskan diri.
Jika anda hanya mampu untuk memiliki hanya satu atau dua batang joran disarankan anda memilih joran yang panjangnya antara 5 1/2 kaki hingga 8 kaki. Sebagai panduan, berikut adalah pilihan yang sesuai untuk anda gunakan dan terpulang kepada kesesuaiannya;
1. Joran 8 kaki, kekuatan 12 - 25 paun lenturan sederhana (medium action) sesuai untuk
disungai yang besar,
2. Joran 6 kaki kekuatn 8 - 20 paun lenturan parabolik ( parabolic action ) sesuai untuk
pancingan kolam masin dan tawar seperti jenahak., siakap, merah, kerapu, tongsan,
pacu, jelawat, keli afrika dan selain-lain.
3. Joran 13 kaki kekuatan 10 - 20 paun lenturan sederhana ( medium action ) sesuai
untuk pancingan pantai untuk mendapatkan lontaran yang jauh dan tepat.
4. Joran 7 kaki, kekuatan 25 -40 paun lenturan hujung (tip acttion) sesuai untuk pancingan
laut .
5. Joran 5 1/2 kaki, kekuatan 2 -5 paun lenturan parabolik ( parabolic action ) sesuai
untuk pancingan udang.
Segala tip-tip yang saya berikan mungkin tidak bersesuaian dengan selera anda terpulanglah kepada anda untuk memilihnya,itu sekadar saranan. Semuga anda semua mendapat serba sedikit pengetahuan berkaitan dengan joran dan selamat memancing.

Monday, September 8, 2008

4. Mengenal Dan Memilih Peralatan ( Samb )

Joran
Bila disebut sahaja joran semua orang tahu apa kegunaannya. Dari kanak-kanak yang seusia 7 tahun sudah tahu joran digunakan untuk memancing ikan atau udang. Malahan ketika kita zaman kanak-kanak dahulu pun sudah tahu apa fungsinya bezanya semasa
zaman tersebut untuk memiliki sebatang joran seperti kanak zaman sekarang memanglah amat perit..kecuali ibu bapa mereka yang berduit, Diwaktu zaman saya dahulu, untuk memancing ikan kami terpaksa mencari pokok buluh atau pokok rembia, diambil pelepah yang masih muda dipotong,dilurut ( dibersihkan ) daun atau tangkainya untuk dijadikan sebatang joran dan diikat benang atau tangsi dihujungnya dan mata kailnya diperbuat dari
pin baju atau jarum peniti yang dibentukkan seperti mata kail. Berbeza dengan kanak-kanak dizaman sekarang, segala-galanya sudah tersedia didepan mata.

Terdapat beratus jenis joran yang ada dipasaran, dari yang pendek hingga yang panjang. Dari jenis yang terbaik hinggalah jenis yang biasa. Ada yang jenis hanya sebatang sahaja, ada yang bolih dipisahkan kepada 2 bahagian malahan ada yang jenis bolih dimasuk-masukkan menjadi lebih pendek seperti teleskop dan berbagai jenis lagi. Terpulang kepada anda jenis yang macam mana menjadi pilihan anda. Namun begitu, nasihat saya belilah joran mengikut jenis ikan yang anda ingin memancing atau carilah jenis joran yang bolih digunakan untuk pelbagai jenis pancingan.

Mari kita mengenali serba sedikit beberapa perkara berkaitan dengan joran. Sebelum kita membeli atau menceburi bidang memancing, kita haruslah mengetahui beberaa perkara berkaitan dengan komponen-komponen sebatang joran.

1. Bahan-bahan Asas;
Kebanyakkan joran telah diperbuat dari pada grafit, boron, kevlar dan armorid veil, ia merupakan bahan asas untuk membentuk sebatang joran dan sangat kuat tetapi rapuh. Jika joran anda terhentak dengan sesuatu benda yang keras sperti batu batang kayu ia mudah retak. Justru itu elakan dari hentakan yang kuat.

2. Tulang Belakang.
Kebanyakkan joran yang ada dipasaran mempunyai tulang belakang atau dikenali sebagai "backbone" kecuali joran untuk pancing layang ( fly rods ). Joran jenis ini diperbuat daripada buluh yang dikenali di Barat sebagai "built cane rod". Untuk mengetahui dimana kedudukan tulang belakang sebuah joran, cuba anda lenturkan sebatang joran, bila anda lenturkannya anda akan terasa bahagian yang tegap dan kuat. Itulah yang dipanggil " tulang belakang ".

3. Lenturan.
Setiap joran mempunyai profil lenturannya sendiri ( aksi ) apabila ia mengalami tekanan samaada ketuka melawan ikan atau anda melontar umpan. Terdapat 3 jenis lenturan untuk sebatang joran:
a. Lenturan hujung ( tip action )
b. Lenturan sederhana ( medium action )
c. Lenturan parabolik ( parabolic action )

Lenturan hujung ( tip action ) adalah joran yang hanya melentur dibahagian atas sahaja. Bahagian yang dekat dengan tempat pemegang masih tegap dan lurus. Jenis joran ini bagus digunakan untuk melontar gewang umpan jenis keras.

Bagi anda yang mempunyai hanya satu joran untuk semua jenis pancingan, joran jenis lenturan sederhana ( medium action ) adalah bagus untuk menjadi pilhan anda. Ia dapat digunakan untuk kedua-dua aksi. Harus diingat joran ini hanya dapat memberikan aksi sederhana sahaja.

Manakala joran yang mempunyai aksi lenturan parabolik ( parabolic action ) pula, ia sangat bagus digunakan untuk melontar umpan yang lembut dan yang mudah rosak seperti umpan tepung, soya, cacing dan sebagainya. Joran ini agak lembut aksinya jadi ia tidak merosakkan umpan. tambahan jika ikan yang dipancing mempunyai mulut yang lembut dan mudah koyak, joran jenis ini amat sesuai. disamping itu menggunakan joran jenis ini memudahkan kita mengetahui jika ikan sedang memakan umpan.

Perlu diingat, jika anda menggunakan tali jenis sulam ( braided ), tali ini akan mudah putus kalau gerakan lontaran anda terlalu mengejut atau kuat. Joran jenis parabolik atau sederhana yang lebih lembut dapat mengelakkan perkaraini dari berlaku. Tetapi jika anda menggunakan joran jenis lenturan hujung ( tip action ), pastikan anda membuat lontaran dengan berhati-hati jika tidak rapala anda terbang kedalam sungai atau lombong.

Kita akan sambung lagi topik ini di post yang akan datang.







Friday, September 5, 2008

3. Mengenal Dan Memilih Peralatan ( Sambungan )

B. Mesin Laut Dalam.

Terdapat pelbagai jenis dan jenama untuk mesin memancing dilaut dalam dari semurah RM100 hinggalah ribuan ringgit. Ada yang secara manual dan tidak kurang juga dipanggil mesin berkuasa elektrik, terdapat juga jenis mesin mendatar digunakan yang digunakan untuk memancing dilaut dalam. Membezakannya ialah ia tidak perlu dikayuh tetapi hanya menekan satu butang sahaja, tali utama dapat digulung masuk kedalam geledung mesin dengan sendirinya seperti gambar 2.


Mesin yang secara manual pula terpaksa dkayuh menggunakan tangan apabila umpan diragut ikan. Kekadang masa yang diambil untuk menaikkan ikan tersebut sehingga 20 minit ataupun 30 minit bergantung jenis ikan yang meyambar umpan. Ini memang meletihkan tetapi anda akan merasakan satu kepuasan yang tidak terhingga ketika ikan tersebut cuba melawan atau melarikan diri. Peluang inilah yang selalu ditunggu-tunggu olih kaki pancing.



Thursday, September 4, 2008

2. Mengenal Dan Memilih Peralatan ( Sambungan )

Didalam tulisan saya yang lalu saya ada bercerita tentang mengenal dan memilih peralatan memancing dan diartikal ini saya akan menyambung lagi tentang bab tersebut. Bagaimana dan apakah jenis mesin serta joran yang sesuai untuk anda beli atau miliki. Bila anda pergi kekedai menjual peralatan memancing, anda pasti akan kebingungan yang mana satu nak dipilih.
Kali ini anda akan dapat mengenal jenis-jenis mesin dan joran memancing. Diluar sana terdapat berpuluh dan beratus-ratus jenis peralatan memancing. Ada yang semurah RM20.00 hinggalah berharga ribuan ringgit. Ada perlu bijak memilih peralatan mengikut kesesuaian jenis ikan yang anda ingin perolihi. Jangan membeli mesin dan joran pancing udang tetapi digunakan untuk memancing ikan jenahak atau kerapu, nanti anda sendiri yang akan berputih mata. Ok mari kita tinjau jenis-jenis mesin memancing.

A. Mesin Mendatar


Mesin jenis ini kebanyakkannya digunakan untuk memancing ditepi pantai, sungai, kolam, lombong ataupun tasik kerana kekuatan mesin bolih menampung berat ikan sekitar 2 kilo keatas. Ia biasanya terletak mendatar dimana joran berada diatasnya Kadangkala jika anda bernasib baik ia bolih menaikkan ikan seberat 8 kilo dan ia bergantung berapa kekuatan tali utama yang anda gunakan, jenis joran dan mata kail yang anda gunakan. Malahan ia juga bolih digunakan untuk memancing dilaut.
Mari kita kenal serba sedikit komponen-komponen mesin jenis mendatar ini.

1. Sistem Anti-Balikan: Menyekat balikan kayuhan dan mengurangkan kesan negatif



2. Sistem Anti-Pintalan: Sistem reka bentuk rotor yang mengurangkan kesan tali berpintal dan bergelung.



3. Pengayuh Berkuasa Pegangan Lembut: Tombol pemegang direka khas supaya sentiasa sedia diputar, selesa, ringan dan bertekstur lembut

Wednesday, August 27, 2008

Mengenal Dan Memilih Peralatan

Kebanyakkan dari kita menganggap mesin untuk memancing itu sama sahaja kegunaannya. Seperti untuk pancingan kolam, tasik atau sungai sama dengan pancingan dilaut. Secara logiknya ya....bunyinya serupa iaitu memancing ikan. Tetapi sebelum anda membeli mesin memancing, anda hendaklah fokuskan dimana anda ingin memancing. Samaada di tepi pantai, kolam, tasik, sungai ataupun laut. Anda perlu bijak memilih mesin pacing yang bersesuaian agar anda tidak tersalah memilih jenis mesin pancing

Jika anda kurang arif berkaitan peralatan memancing, bertanyalah kepada rakan-rakan kaki pancing anda ataupun anda bolih mengajak rakan anda pergi bersama ketika membeli peralatan tersebut dan anda bolih juga meminta nasihat dari penjual peralatan memancing ditempat anda membelinya. Sebelum itu buatlah tinjauan harga dahulu dibeberapa buah kedai untuk mendapatkan harga mengikut budget anda.

Janganlah jika anda ingin memancing di kolam ataupun sungai tetapi anda membeli mesin pancing untuk kegunaan dilaut dalam dan sebaliknya. Kesesuaian dan ketepatan memilih itu amat penting. Jangan tersalah pilih. Dan jangan anda mejadi bahan ketawa orang lain.

Begitu juga dengan pemilihan joran, anda juga perlu bijak memilih jenis joran yang bersesuaian dengan akitiviti memancing anda. Janganlah memilih joran laut dalam tetapi hanya unuk memancing di tepi pantai atau kolam memancing. Jenis-jenis joran ada bermacam-macam jenis. Ada untuk kegunaan dilaut dalam, disungai, ditepi pantai, ada juga untuk pancingan layang, pancingan jig, pancingan udang dan bermacam-macam lagi.

Kesuaian dan ketepatan anda membeli kedua-dua peralatan itu amat penting kerana ia dapat membantu anda ketika memancing nanti. Disamping membantu anda sekurang-kurangnya 30% untuk mendapatkan hasil pancingan anda.

Jika anda hanya menumpukan akitiviti memancing ditepi pantai ataupun disungai dan kolam, ada 2 pilihan joran yang bersesuaian. Anda bolih membeli joran yang panjangnya lebih kurang 5' 5" dan 7' 6" keatas untuk pancingan ditepi pantai. Disamping itu dapatkan juga jenis joran yang beraksi sederhana. Ini untuk memudahkan anda mengendalikannya. Anda juga bolih mendapatkan khidmat nasihat dari penjual-penjual peralatan memancing ditempat anda membelinya nanti.

Monday, August 25, 2008

Persediaan Memancing

Betul ke...., ada orang berkata hobi memancing ini, perlu mengeluarkan modal yang besar. Untuk membeli mesin pancingnya, joran, tali utama, mata kail, batu landung dan beberapa peralatan memancing?

Bagi saya semuanya terpulang kepada kemampuan masing-masing. Jika anda berkemampuan dan mempunyai wang lebih, anda bolih membeli peralatan memancing yang mahal harganya tetapi bagi yang baru mula berjinak-jinak dengan akitiviti memancing pula, cukuplah sekadar anda membeli peralatan yang anda termampu. Buat permulaan anda bolih membeli peralatan yang penting dahulu seperti sebuah mesin dan sebatang joran pancing berserta tali utama , mata kail dan batu ladung. Ataupun anda bolih dapatkan mesin dan joran 'second hand " yang banyak dijual dikedai-kedai menjual peralatan memancing. Modalnya mungkin tak sampai RM 100.00 . Walaupun peralatan tersebut dikategorikan kepada barang terpakai namun ia tetap masih bolih digunakan diantara 5 ke 10 tahun ataupun lebih, bergantung bagaimana anda menyelenggarakannya.

Untuk pengetahuan anda saya bermula dengan membeli mesin dan joran terpakai lebih kurang 18 tahun dahulu yang berharga tak sampai RM 60.00 dan sehingga sekarang saya masih menggunakannya dan ia tetap dalam keadaaan " tip top ". Malahan pernah digunakan untuk menaikkan ikan jenahak seberat 9.8 kg. Dan mesin dan joran tersebut menjadi barang kesayangan saya dan ia tak pernah menghampakan saya bila digunakan.

Ok...., mari kita kembali kepada topik kita ....., persedian memancing. Apakah yang perlu anda tekankan. Bila diutarakan topik-topik seperti ini anda akan mendapat pelbagai jawapan yang berbeza, namun matlamatnya sama untuk memancing ikan....., bukan memancing orang tau....., he..he..he..

Setelah anda membeli peralatan memancing tersebut, tak kira samaada baru atau terpakai anda hendaklah memastikan peralatan tersebut diletakkan disatu tempat yang selamat. Elakkan dari kanak-kanak kerana mata kail terutamanya bolih mencederakan mereka disamping mungkin peralatan tersebut akan mudah rosak. Jika anda tidak mempunyai bekas khas untuk menyimpan mata kail, batu landung dan tali pancing anda bolih menggunakan bekas-bekas plastik untuk menyimpan barang-barang tersebut. Ini akan memudahkan untuk anda bila diperlukan dan bekas-bekas tersebut disimpan didalam bag atau anda menyimpannya disatu tempat yang selamat.

Thursday, August 21, 2008

Bila disebut sahaja perkataan memancing, bermacam-macam anggapan atau jawapan yang akan anda terima. Dari yang baik hinggalah yang buruk. Kebanyakan jawapan yang diterima akan mengatakan bahawa akitiviti atau hobi memancing ini satu pembaziran wang ringgit, malahan ada yang menganggap satu kerja bodoh. Dimana duduk termenung berjam-jam menunggu umpan dimakan ikan. Tidak kurang pula yang menganggap ia satu akitiviti sukan yang menyehatkan...., dimana ia dapat menenangkan fikiran, menghilangkan stress, merapatkan hubungan kekeluargaan disamping menambahkan ilmu dan kenalan.
Memang tidak dinafikan bagi segelintir kaki pancing, akan timbul suatu saat dimana rasa kemaruk untuk memancing itu tidak dapat dibendung lagi, dimana keinginan memancing itu begitu meluap-luap sekali. Mereka tidak mengira hujan ribut ke..., isteri marah ke...., mereka tetap juga akan pergi memancing. Dan ini betul-betul dinamakan ketagih memancing...., diharap anda diluar sana tidak tergolong seperti mereka ya....!
Tidak kurang juga akitiviti memancing ini bolih mengeratkan hubungan kekeluargaan. Anda tak percaya....? Cuba anda lihat jika diadakan satu pertandingan memancing...., tak kiralah di kolam ke..., tasik ke...., atau ditepi pantai ke...., anda akan dapat lihat seolah-olah seperti satu pesta. Dimana peserta-peserta pertandingan memancing tersebut telah membawa bersama keluarga mereka..., malahan isteri-isteri mereka telah menyiapkan bekalan makanan untuk dimakan semasa pertandingan tersebut. Tidak kurang juga orang-orang awam datang kesitu untuk memeriahkan bersama akitiviti tersebut. Mereka bukan minat memancing tetapi mereka ingin melihat hasil tangkapan yang diperolihi para peserta atau pemancing.
Mereka akan bertanya dari seorang peserta keseorang peserta berapa banyak hasil yang diperolihi. Ini adalah pengalaman sendiri penulis. Malahan soalan yang ditanyakan .., ikan apa dapat.., ikan apa ada kat sini..., pakai umpan apa...., tali jenis apa dan berapa pound..., dan bermacam-macam lagi soalan yang ditanya.
Malahan dengan adanya akitiviti seperti ini, telah memberi peluang kepada para peniaga untuk mencari sedikit keuntungan, mereka telah mendirikan khemah atau kanopi dengan menawarkan pelbagai jenis juadah untuk para pengunjung menjamu selera.
Kesimpulannya bahawa akitiviti memancing ini bukanlah suatu akitiviti yang kurang berfaedah tetapi adalah suatu akitiviti yang amat baik, malahan akitiviti ini juga telah mendapat pengiktirafan dunia. Dimana setiap tahun akan diadakan akitiviti pertandingan memancing peringkat international seperti diadakan di Pahang, Sabah dan banyak lagi pertandingan yang diadakan diperingkat daerah dan negeri salah satunya ialah Gp Joran 2008 yang telah dianjurkan olih akbar Berita Harian dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi-agensi yang berkaitan.

Wednesday, August 20, 2008

Ringkasan blog

Assallamualaikum dan salam sejahtera,

Selamat datang keblog Jom Gi Pancing ini, ia dihasilkan bertujuan untuk anda berkongsi pengalaman dan ilmu sesama pemancing-pemancing dari seluruh Malaysia khususnya dan seluruh nusantara amnya. Tidak kira samaada ada dalam kategori "pro" ataupun amatur.

Didalam Jom Gi Pancing ini juga akan menceritakan serba sedikit tentang aktiviti sukan memancing, etika memancing, persedian memancing, kenali spesis dan habitat, peralatan dan penyelenggaraan, lubuk-lubuk ikan, tip dan petua-petua orang lama, teknik dan tektik, kolam memancing dan serba sedikit sudut dapur.

Semuga anda semua akan mendapat manafaat dan serba sedikit pengetahuan daripada blog Jom Gi Pancing ini dan selamat memancing